MADRID - Real Madrid optimis mampu menamatkan kemarau trofi Liga Sepanyol selama tiga musim.
Biarpun kini hanya dibezakan empat mata dengan musuh tradisi, Barcelona, skuad kendalian Jose Mourinho itu tetap yakin mereka mampu menjulang trofi liga musim ini.
Awal pagi semalam, Real terlepas peluang mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu liga apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Valencia di Santiago Bernabeu.
Keputusan itu menyaksikan peluang Barcelona untuk mempertahankan trofi liga yang dimenangi mereka musim lalu kembali terbuka.
Bagaimanapun, di sebalik keputusan seri itu, Real kekal menerajui takhta liga dengan mengumpul 79 mata, empat mata meninggalkan Barca.
Penolong jurulatih Real, Aitor Karanka yakin skuad kendaliannya berada di landasan yang tepat untuk kembali menjulang trofi liga selepas kali terakhir melakukannya pada musim 2007/2008.
"Ia merupakan satu perlawanan (menentang Valencia) yang mana kami (Real) memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi ia tidak dapat disempurnakan dengan baik oleh barisan pemain kami.
"Namun, kami tetap yakin kami mampu bergelar juara liga musim ini. Dengan sokongan padu yang diberikan oleh penyokong-penyokong setia kami, saya percaya kami mampu mencapai matlamat tersebut.
"Kami gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh barisan pemain dan akan lebih fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
"Kami juga percaya kami berada di landasan yang tepat untuk mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga, sekali gus bergelar juara," kata Karanka.
Biarpun beraksi di laman sendiri, Real gagal memanfaatkan kelebihan tersebut apabila mensia-siakan beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun, penjaga gol Valencia, Vicente Guaita wajar diberikan pujian berdasarkan prestasi cemerlangnya sepanjang perlawanan itu.
Sementara itu, jurulatih Valencia, Unai Emery memuji persembahan barisan pemainnya yang berjaya mengikat Real di hadapan penyokong tuan rumah.
"Ia merupakan satu perlawanan yang sukar apabila berdepan Real di tempat mereka sendiri.
"Sebab itu, sejak awal lagi saya mengingatkan pemain- pemain untuk mengikut strategi yang telah ditetapkan dan melakukan serangan balas jika berpeluang berbuat demikian," kata Emery. - AFP
No comments:
Post a Comment